KAMBING KELANTAN

Monday, February 22, 2010

KAMBING KELANTAN

PASIR MAS: Pusat Jualan ternakan Negeri akan diwujudkan di kawasan tanah rezab haiwan di Kampung Repek dekat sini, yang akan diurus syarikat PK Ecoresort Sdn Bhd dengan pemantauan dan khidmat nasihat Jabatan Perkhidmatan Haiwan serta Fama.

Menurut Pengerusi Pertanian dan Industri Desa, Dr Nik Mazian Nik Mohamed, pada masa akan datang Kelantan dijangka mampu mengeluarkan baka kambing jenis tempatan yang mungkin dikenali sebagai ‘kambing Kelantan’.

Sebelum ini kerajaan negeri telah berjaya melancarkan program Jihad Ternak – penternakan kambing secara komersial jenis baka Jamnapari dan Boer.

Perasmian pusat itu dilakukan semalam. Manakala sebelah malamnya solat hajat diadakan di tapak pusat jualan tersebut.

Dr Nik Mazian berkata, dengan adanya pusat jualan ternakan, kerja-kerja pemasaran akan menjadi lebih mudah memandangkan ia akan menjadi pusat tumpuan utama pembeli kambing jenis baka baik.

Oleh itu beliau berharap penternak dan pengusaha yang ingin memasarkan kambing disaran memanfaatkan pusat tersebut.

“Sebelum ini kerajaan negeri memperkenalkan program Jihad Ternak yang mana pusat penternakannya terletak di Rong Chenok dekat sini, bertujuan untuk mengembangkan baka kambing.

“Dan pusat jualan pula diwujudkan sebagai salah satu tempat untuk peserta yang terbabit dengan program Jihad Ternak mendapat baka kambing yang terbaik,” ujarnya.

Selain itu matlamat jangka panjang kerajaan negeri bagi menjadikan Kelantan sebagai ‘hub penternakan’.

Jurucakap PK Ecoresort berkata, pihaknya terbabit dengan perniagaan ternakan sejak tahun 2000, melihat bidang tersebut mampu berkembang pesat pada masa akan datang.

Turut hadir Adun Kadok, Haji Mohd Shukri Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan Kelantan, Dr Idris Kadir dan pegawai Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad serta pengusaha-pengusaha ternakan kambing.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails