KAMBING KELANTAN

Monday, February 22, 2010

TAG TELINGA UNTUK TERNAKAN KAMBING

JELI, 24 April (Bernama) -- Bagi meningkatkan daya saing dalam pasaran makanan halal antarabangsa, Malaysia perlu melaksanakan sistem daya jejak ternakan bagi mematuhi syarat import makanan Kesatuan Eropah (EU), Asia Barat dan Amerika Syarikat.

Ini juga seiring dengan langkah EU meletakkan syarat keperluan sistem daya jejak sebagai jaminan keselamatan makanan yang diimport ke negara-negara kesatuan itu.

Walaupun pengeluaran ternakan ruminan di Malaysia belum mencapai kadar sara diri, sektor ini mempunyai ciri-ciri tambah nilai yang ada potensi bagi pasaran luar negara.

Sehubungan itu, dalam usaha menjadikan pertanian dan ternakan sebagai satu daripada sumber utama ekonomi negara, Malaysia mengorak langkah menjadi negara pertama di Asia menggunakan sistem daya jejak ternakan yang menggunakan alat identifikasi frekuensi radio (RFID).

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Aziz Jamaluddin berkata selain Australia, Kanada dan Amerika Syarikat, Malaysia merupakan satu-satunya negara Asia yang menggunakan sistem daya jejak ternakan RFID dengan kos RM500 juta bagi fasa pertama.

LANGKAH PERMULAAN

"Ia merupakan langkah permulaan. Bagi fasa pertama sebanyak RM500 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Kami akan memasang alat RFID itu kepada 80,000 ternakan lembu di seluruh negara.

"Ia akan diperluas kepada ternakan lain termasuk kambing jika projek itu berjaya," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata RFID yang dianggap sistem termoden diguna pakai di beberapa negara, memberikan kesan positif dalam mengawal kemasukan ternakan.

Katanya RFID merupakan teknologi yang menggunakan frekuensi radio untuk mengenal pasti secara automatik manusia, haiwan atau objek lain.

Beliau berkata sekiranya berlaku wabak penyakit, pengesanan punca penyakit adalah penting bagi membolehkan kawalan penyakit dilaksanakan dengan segera dan berkesan.

"Sistem daya jejak ternakan yang mengandungi rekod pergerakan ternakan, boleh digunakan untuk mengenalpasti lokasi ternakan ditempatkan, agar ternakan lain yang pernah bersama dengan ternakan berpenyakit dapat dikuarantin dan aktiviti kawalan penyakit dapat dijalankan dengan segera," katanya.

TAG TELINGA

Bagi tujuan ini, JPV memilih tag telinga kerana pemasangan alat itu merupakan amalan pengenalan ternakan lembu yang biasa dikendalikan oleh pegawai-pegawai jabatan itu.

Tag telinga RFID ialah dalam bentuk butang bulat, sama seperti yang digunakan di Australia bagi tujuan itu. Alat itu didapati sesuai kerana saiznya yang kecil dan tidak mudah hilang.

Tag itu dipasang di sebelah telinga, sementara di telinga sebelah lagi dipasang dengan tag plastik biasa (tanpa RFID) yang ditandakan dengan nombor siri atau kod-kod lain.

Tujuan tag kedua ini (tanpa RFID) ialah untuk memudahkan pengenalan ternakan jika tag RFID hilang.

Jika tag telinga RFID hilang, tag yang baru perlu dipasang dan nombor kod baru direkodkan di dalam pangkalan data ternakan berkenaan.

Dr Aziz berkata jika ternakan tidak dipasangkan tag, sistem daya jejak akan gagal kerana maklumat ternakan yang tidak diberi tag tidak termasuk di dalam pangkalan data.

"(Tanpa sistem daya jejak RFID) Jika ternakan itu dijangkiti penyakit, sejarah pergerakan atau pemindahan ternakan berkenaan tidak wujud dan punca jangkitan serta ternakan lain yang berisiko jangkitan tidak dapat dicari.

"Apabila pangkalan data tidak lengkap, sistem daya jejak akan gagal dalam audit yang dijalankan oleh negara pengimport. Dengan itu, eksport ternakan atau produk ternakan akan terjejas," katanya.

Beliau berkata tag itu mematuhi piawaian ISO -- MS ISO 11784:2003 (piawaian pengenalan) dan MS ISO 11785:2003 (spesifikasi teknikal).

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails